29 September 2017 - 08:44
Laporan: Gangster Dawood Ibrahim Biaya NGO Zakir Naik

Adik kepada gangster terkenal India Dawood Ibrahim mendedahkan abangnya membantu membiayai Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang diasaskan penceramah kontroversi Zakir Naik.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Adik kepada gangster terkenal India, Dawood Ibrahim mendedahkan bahawa abangnya pernah menyalurkan bantuan kepada Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang diasaskan oleh penceramah kontroversi, Zakir Naik.

Menurut akhbar The Siasat Daily, Iqbal Kaskar membuat pengakuan kepada polis pada hari Selasa bahawa ketua gangster itu pernah membiayai IRF.

Laporan tersebut melaporkan bahawa ketua pegawai kewangan Zakir Naik, Aamir Gazdar turut mengatakan bahawa Dawood pernah membiayai IRF.

Dawood Ibrahim melarikan diri dari negara India beberapa tahun lalu dan kini menetap di Pakistan. Wang kepada IRF dikatakan disalur melalui Pakistan.

Zakir, yang melarikan diri dari India selepas polis menyiasat dakwaan pengubahan wang dan kesalahan berkaitan kegiatan keganasan.

Siasat Daily berkata Iqbal Kaskar pernah ditahan di atas dakwaan memeras wang dari pemaju hartanah bagi pihak Dawood Ibrahim.

Sementara itu, The Asian Age melaporkan bahawa Direktorat Penguatkuasaan (ED) India telah mendaftarkan kes terhadap Iqbal Kaskar dan dua orang rakan niaganya di atas dakwaan pengubahan wang pemerasan di luar negara.

Menurut laporan itu, sebahagian daripada wang itu dipercayai telah disalurkan semula ke India di dalam bentuk sumbangan kepada IRF.

Laporan itu turut memetik seorang pegawal kanan ED yang tidak dinamakan sebagai berkata mereka sedang menyiasat kaitan di antara wang yang dihantar keluar dari India dan sumbangan kepada IRF.

Sumber di ED memberitahu The Asian Age bahawa hartanah yang didakwa diperas Iqbal dan rakan niaganya kemudian dijual dan wang hasil daripada transaksi itu, bersama wang yang diperas, disalurkan kepada Dawood di Pakistan dan keluarga Iqbal di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.